July 26, 2012

Remaja Tikam Bekas Kekasih

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang diburu polis selepas menikam bekas kekasihnya tampil menyerah diri di Balai Polis Sentul, di sini, semalam.

Gambar hiasan

Pelajar lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong sayur itu dilaporkan bertindak menikam bekas kekasihnya itu sebanyak tiga kali di perut dan pinggang selepas tidak dapat menerima pelajar perempuan berkenaan meninggalkannya dan bercinta dengan orang lain yang juga rakan sekolahnya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek akan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu di pangsapuri di Taman Datuk Senu, di sini, Jumaat lalu, mangsa yang ditemani kekasih barunya bertemu dengan suspek di lokasi kejadian.

“Sebelum kejadian, mangsa dipercayai bertengkar dengan suspek kerana remaja itu tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan berkenaan.

“Suspek yang hilang pertimbangan kemudian menikam mangsa sebelum melarikan diri. Namun, akibat panik, suspek tertinggal pisau berkenaan di lokasi kejadian,” katanya memberitahu teman lelaki baru mangsa yang menyaksikan kejadian berkenaan segera menjerit meminta bantuan orang ramai.

Zakaria berkata, mangsa yang mengalami cedera parah kini dilaporkan stabil namun masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Menurutnya, ketiga-tiga pelajar terbabit adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah. - Metro

No comments: