August 11, 2012

Mengapa Mesti Berbohong?

Petikkan Mymasjid.net.my
Oleh: Adelia

Ramai di kalangan kita suka berbicara tentang pembohongan. Ada yang mengkategorikan pembohongan sebagai satu keperluan, lantas menamakannya sebagai "tipu sunat". 

Pada mereka, pembohongan ini dibenarkan jika mereka ingin menutup kekurangan atau menyembunyikan rahsia demi menjaga hati insan-insan yang lain. Biar apa pun alasannya, matlamat itu tidak sesekali menghalalkan cara yang mereka gunakan.



Biarpun kecil, pembohongan tetap satu dosa, tetap bergelar satu pengkhianatan ke atas prinsip kemanusiaan.

Jujurlah biarpun ianya pahit

Penipuan atau pembohongan adalah satu perbuatan untuk mewajarkan tindakan yang tidak direstui. Menutup rahsia dan kekurangan peribadi merupakan alasan yang paling dominan digunakan untuk tidak berlaku jujur.

Seorang lelaki misalnya, menipu tentang kerjaya dan peribadinya semata-mata untuk memikat seorang gadis.
Dan seorang gadis pula menipu untuk menyembunyikan kekurangan yang ada pada dirinya.

Sebuah cerita rekaan dicipta untuk memulakan sebuah penipuan yang kecil hanya dengan tujuan menyembunyikan rahsia dan kekurangan.



Tanpa disedari, satu penipuan itu sentiasa memerlukan penipuan demi penipuan yang lain agar rahsia tidak akan sesekali terbongkar.

Dan akhirnya, hidup mereka ini akan dipenuhi dengan ketidakjujuran semata-mata, hingga akhirnya mereka menipu diri mereka sendiri.

Namun apabila sekali kepercayaan itu dikhianati, mampukah kita merebut kepercayaan itu buat kedua kali?
Seandainya mampu sekalipun, pasti kepercayaan kali kedua itu akan disertai dengan syak dan ragu. Mahukah kita hidup dalam syak wasangka sepanjang masa?

Mahukah kita hidup dalam keadaan orang lain sukar mempercayai apa yang kita katakan? Bukankah terbukti di sini, kejujuran adalah asas kebahagiaan dan ketenangan jiwa?



Kejujuran mampu membuat manusia terhindar daripada melakukan kejahatan.

Suatu ketika dahulu, ada seorang pemuda yang ingin menghapuskan sikapnya yang suka berjudi dan minum arak.

Pemuda tersebut telah datang kepada Rasulullah s.a.w. Baginda kemudiannya hanya meminta pemuda itu berlaku jujur. Setiap Jumaat, pemuda itu menghadap Rasulullah s.a.w untuk melaporkan apa yang dibuatnya sepanjang minggu tanpa menipu.



Akibat malu menceritakan dengan jujur kepada Rasulullah tentang perbuatannya yang suka berjudi dan minum arak itu, akhirnya pemuda itu berjaya meninggalkan tabiat-tabiat buruk tersebut, lalu berubah menjadi seorang pemuda yang baik laku hanya kerana ingin berlaku jujur.

Kejujuran benteng kasih sayang

Di mana-mana di dunia ini, kasih sayang adalah nadi kehidupan. Kasih sayang yang teguh adalah kasih sayang yang terbina di atas landasan kejujuran dan keikhlasan.

Bahagialah hidup insan yang mampu mempertahankan kebahagiaan dan kasih sayangnya dengan kejujuran. Ingatlah, penipuan takkan selamanya mampu kita selindungkan. Satu masa, ia akan terbongkar juga.



Dan di saat itu, kasih sayang yang terbina di antara si penipu dengan mangsanya pasti akan berkubur di kaki sejarah. Syak wasangka akan mula sentiasa merajai hati.

Berlaku jujurlah pada semua insan di sekeliling kita. Berlaku jujurlah pada diri sendiri. Semoga kasih sayang dan kebahagiaan yang terbina, kekal menjadi milik kita hingga ke akhir nanti...

No comments: