November 07, 2012

Terpedaya Janji Kahwin

KUALA LUMPUR: Demi cinta, seorang wanita yang terpedaya dengan janji bakal dikahwini bulan depan kerugian lebih RM60,000 apabila diperdaya teman lelakinya yang dikenalinya melalui laman sosial sejak beberapa bulan lalu.



Mangsa yang berusia 30 tahun berkenalan dengan lelaki itu pada penghujung April lalu dan sehingga awal bulan ini, mangsa sudah memohon tujuh pinjaman peribadi daripada pelbagai bank untuk mendapatkan wang sebelum diserahkan kepada teman lelakinya itu.

Sumber polis berkata, selain wang tunai, mangsa turut dinodai lelaki berkenaan manakala kad mesin pengeluaran wang (ATM) miliknya turut disimpan lelaki terbabit untuk tujuan peribadi.

Menurutnya, mangsa dan teman lelakinya bercadang berkahwin bulan depan menyebabkan mangsa mempercayai lelaki itu walaupun baru berkenalan.

Berikutan itu, mangsa mengikut segala permintaan teman lelakinya itu termasuk memintanya meminjamkan wang yang kononnya untuk dijadikan modal untuk menjalankan perniagaan selain bagi perbelanjaan perkahwinan mereka.



“Akibat terlalu cintakan teman lelakinya itu, mangsa membuat tujuh pinjaman peribadi lebih RM50,000 dan semua wang itu diserahkan kepada lelaki terbabit. “Mangsa turut menyerahkan wang simpanannya berjumlah RM11,000 dan kad ATM beserta kata laluan untuk akaun perbankan onlinenya,” katanya.

Sumber itu berkata, teman lelaki mangsa mula menghilangkan diri awal bulan ini dan selepas segala usaha menjejaknya gagal, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan. - myMetro

No comments: