January 18, 2013

Banjir Di Jakarta Jan 2013

JAKARTA - Sejumlah 14 orang maut, enam hilang dan lapan cedera manakala 920 rumah rosak dan ribuan rumah dinaiki air dalam bencana banjir, tanah runtuh dan angin puting beliung di 52 kawasan di Indonesia dalam tempoh empat hari iaitu dari 6 Januari hingga kelmarin.
  
Badan Nasional Pengurusan Banjir (BNPB) berkata, kejadian banjir banyak berlaku di 25 kawasan, kejadian tanah runtuh dominan di 15 kawasan manakala angin puting beliung di 12 daerah.
  
"Kejadian-kejadian ini dijangka terus berlaku kerana musim hujan masih berlangsung hingga akhir Mac. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Januari adalah puncak kejadian bencana hidrometeorologi.
  
"Banyaknya kejadian bencana dalam empat hari terakhir juga dipengaruhi taufan tropika Narelle di selatan Nusa Tenggara Barat (NTB) sejak Jumaat malam hingga sekarang," kata BNPB dalam kenyataan semalam.
  
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia memaklumkan bahawa taufan Narelle masih kuat dan bergerak menjauhi wilayah Indonesia.

Keadaan ini mengakibatkan hujan lebat dan sederhana lebat berpotensi berlaku di Bali, NTB, Nusa Tenggara Timur (NTT) serta bahagian tengah dan selatan negeri Sulawesi Selatan.


Hujan renyai hingga sederhana lebat pula berpotensi berlaku di bahagian selatan Sumatera serta bahagian selatan Kalimantan dan di Jawa, Ombak dengan ketinggian lebih empat meter pula berkemungkinan berlaku di bahagian timur Laut Jawa, bahagian selatan Laut Makassar, Laut Sumbawa, Perairan Kepulauan Selayar serta bahagian tengah dan timur Laut Flores.
  
Keadaan ombak ini juga diramal berlaku di Perairan Flores, Alor, Perairan selatan Sulawesi Selatan, Perairan selatan Bali, NTB, Perairan selatan Pulau Sumba, Laut Sawu, Perairan Kupang Pulau Rote dan Lautan Hindi di selatan NTB dan NTT.
  
BNPB menggerakkan operasi pengurusan bencana di semua daerah terlibat.   

Badan itu turut meminta masarakat untuk terus bersiap sedia menghadapi banjir, tanah runtuh, banjir kilat dan angin puting beliung yang berpotensi tinggi berlaku pada bulan ini.
  
Dalam kenyataan lain, BNPB berkata kejadian angin puting beliung yang melanda Batam dan daerah Cilacap di Jawa Tengah pada Selasa (8 Januari) mengakibatkan ratusan rumah penduduk rosak selain kerosakan kepada beberapa kemudahan awam.
  
Di Batam, sejumlah 227 rumah penduduk rosak manakala antara kemudahan awam yang mengalami kerosakan ialah dua masjid dan sebuah pejabat ketua kampung manakala di Cilacap, angin puting beliung merobohkan dua buah rumah penduduk dan merosakkan 344 rumah lain. - Bernama - Sinarharian






No comments: