February 14, 2013

Fenomena Laut Merah di Sabah

Laut Merah atau Red Tide merupakan fenomena air yg bertukar menjadi merah disebabkan oleh sejenis tumbuhan laut iaitu Phytoplankton atau Alga yg sgt halus (organisma) tetapi hanya lebih-kurang 100 spesis shj dipercayai beracun daripada beribu² jenis sel ini. Rujukan - wikipedia the free encyclopedia.

Fenomena laut merah: Seorang lagi maut di Sabah

KOTA KINABALU - Fenomena laut merah yang kini melanda Sabah menyaksikan seorang lagi mangsa terkorban, menjadikan jumlah tiga kesemuanya setakat ini, dipercayai akibat memakan kerang dan lokan dibeli dari Pasar Malam Inanam, dekat sini.


 gambar hiasan duniawi - credit: zulnizam.blogspot

Ketika mengesahkan kejadian itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, mangsa, 23, seorang wanita warganegara asing berasal dari Kampung Inanam Jaya itu sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas pada kira-kira jam 2.55 pagi semalam.

"Sampel kerang dan lokan itu telah dihantar ke Jabatan Perikanan Sabah untuk dianalisis dan keputusan masih belum diperolehi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Puteri Umno Malaysia di sini, hari ini.

Rosnah berkata, semalam sahaja, Jabatan Kesihatan Negeri menerima sebanyak 18 kes yang disyaki keracunan kerang daripada HWKKS manakala jumlah keseluruhan adalah 43 kes dengan 37 kes di daerah Kota Kinabalu dan enam kes di daerah Tuaran.

Beliau berkata pada jam 7.30 malam semalam, seramai 10 orang telah mendapat rawatan di HWKKS, enam di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2, dua di HQE 1, enam di Hospital Tuaran, tiga kes di Klinik Kesihatan Likas dan satu di bawah keadaan tidak bernafas.


“Setakat ini seramai empat kes dimasukkan di wad HWKKS, dan tiga di HQE 2 untuk rawatan lanjut manakala 35 kes lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya sambil menyatakan kesemua kes berkaitan dengan memakan kupang yang dibeli dari Pasar Malam Inanam dan mengambil kupang di Teluk Likas.

Sementara itu, Rosnah berkata poster dan hebahan awam mengenai keracunan makanan akibat air merah telah ditampal di Pasar Malam Inanam dan para peniaga dilarang menjual kerang pada masa ini.

  Gambar credit: firestarter90.blogspot

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak memakan atau mengumpul kesemua jenis kerang (hidupan laut yang mempunyai cangkerang) seperti kerang, siput dan juga ikan-ikan pesisir pantai.

“Jika termakan dan mengalami tanda-tanda seperti kebas, pening, muntah dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan,” kata Rosnah.  - Bernama - Sinarharian

No comments: