August 12, 2013

Enam Terkorban Gunung Rokatenda

Kupang: Penyelamat Indonesia semalam berusaha keras untuk memindahkan ribuan penduduk dari pulau kecil Palue di Nusa Tenggara Timur ketika letusan gunung berapi yang mengorbankan enam orang kelmarin terus memuntahkan batu dan abu “pada paras berbahaya”. 

Pegawai agensi valkonologi Indonesia, Surono berkata, Gunung Rokatenda mengeluarkan abu merah panas hingga 600 meter ke udara.

PENDUDUK Pulau Palue menunjukkan mayat saudaranya yang terbunuh akibat letusan gunung berapi, semalam.

“Tiada tanda-tanda ia akan berhenti meletus dalam tempoh terdekat,” katanya kepada media.

Kelmarin gunung berapi itu mengeluarkan batu dan abu setinggi 1.2 batu ke udara dan melimpahkan lava yang lebur ke pantai, membunuh tiga orang dewasa dan tiga kanak-kanak ketika mereka tidur.

Aktiviti gunung berapi Rokatenda, satu daripada pelbagai gunung berapi di kepulauan Indonesia meningkat sejak Oktober lalu dan terdapat beberapa siri letusan kecil sebelum kelmarin.

Pasukan penyelamat mencari jalan untukk memindahkan kira-kira 2,000 orang ke zon selamat seluas tiga kilometer dan sekumpulan penduduk yang panik sudah pun meninggalkan pulau berkenaan, kata pegawai agensi pengurusan bencana tempatan, Eduardus Desa Pante.



Petugas penyelamat, Bakri Kari berkata, usaha menyelamat sukar kerana jalan raya dihalang oleh abu dan penduduk enggan meninggalkan kediaman mereka.

“Memang sukar untuk melangkah melalui tanah yang panas diliputi oleh abu setebal 10 hingga 20 sentimeter.

“Semuanya terbakar akibat terkena lava,” katanya. - AFP - myMetro

No comments: