August 12, 2013

Raya Tanpa Dinding Dapur

ROMPIN – Sebuah keluarga di Kampung Kasing, di sini, terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan tiada dinding dapur apabila dinding tersebut runtuh pada 31 Julai lalu.

Difahamkan, kejadian tersebut juga nyaris mendatangkan kecederaan kepada salah seorang penghuni rumah terbabit yang ketika itu sedang membasuh pinggan.

Suri rumah, Hafidzah Isa, 42, berkata, dinding dapur rumahnya runtuh selepas selesai berbuka puasa.

“Masa dinding dapur runtuh, saya sedang basuh pinggan sebab baru selesai buka puasa bersama keluarga.

Hafidzah menunjukkan dinding dapur rumah pusaka peninggalan bapa mentuanya yang telah runtuh dan nyaris menimpanya.

“Saya dengar macam ada bunyi benda patah dan tiba-tiba dinding dapur di tepi tempat saya membasuh pinggan itu runtuh. Nasib baik ia runtuh dan tumbang ke arah luar dan tidak menimpa saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Hafidzah berkata, Aidilfitri kali ini mereka sekeluarga terpaksa menyambutnya dengan keadaan dapur yang tidak berdinding.

Katanya, suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tidak mempunyai modal kewangan untuk membaiki dinding tersebut.

“Sekarang ini saya dan anak-anak terpaksa membasuh pinggan di situ juga walaupun sebenarnya agak bahaya kerana masih ada sisa kayu dinding sebelah atas yang bila-bila sahaja boleh jatuh dan menimpa kami.

“Kami terpaksa berhadapan dengan risiko kerana suami masih belum mempunyai wang untuk membuat dinding baru," katanya. - Sinarharian

No comments: