October 22, 2013

Isteri Selalu Melenting dan Memaki

Saya ingin bertanya berkenaan masalah rumahtangga saya. Saya seorang suami dan ini masalah tentang isteri saya.

Kami sudah berkahwin setahun lebih dan anak saya baru dilahirkan bulan lepas. Walau bagaimanapun, kami suami isteri sering bertengkar. Malah ianya berlaku sejak kami belum berkahwin lagi. 

Saya sabar dengan ujian Allah. Mungkin ia untuk menguji kesabaran saya. Tetapi keadaan ini berlarutan sehinggalah kami bertunang dan mendirikan rumahtangga. Ia tetap berlaku. 

Sedikit masalah saja, isteri saya mesti naik berang dan memaki hamun saya. Sehinggalah isteri saya mengandung tiga bulan. Saya sudah tidak mampu bertahan lagi. Saya terpaksa melepaskan talak di atas permintaannya sendiri


Namun begitu isteri saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Selama dua bulan hidup berjauhan, dia kerap mengadu masalahnya kepada saya dan meminta maaf di atas kesilapannya selama ini. Saya menerimanya semula dengan lafaz rujuk.

Selang tidak lama selepas dia melahirkan anak, dia kembali ke perangai asalnya. Mula kurang ajar dengan saya. Saya buntu. Apa sebenarnya yang dia mahu dalam kehidupan ini. 

Saya sedar ada banyak kelemahan di dalam diri saya ini tetapi isteri seakan susah untuk dibawa berbincang. Dia hanya mahu saya dengar dan ikuti apa sahaja yang dia arahkan. Dimanakah martabat saya sebagai seorang suami? Saya sayangkan anak saya. Saya tidak mahu perpisahan lagi.

Silalah pembaca berkongsi pendapat dan nasihat berkenaan masalah yang saya tanggung ini. Semoga dakwah yang dibawa oleh para pembaca ini mendapat ganjaran yang sangat tinggi di sisi Allah SWT.
Terima kasih. - siraplimau.com

No comments: