November 18, 2013

Suami Ugut Bunuh Isteri

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengugut bunuh isterinya, kelmarin.

Namun, hukuman terhadap Norbaharuddin Awang, 33, ditangguhkan untuk mendapatkan keterangan mangsa.

Norbaharuddin menunggu jaminan daripada isterinya dan ditahan di penjara sementara menunggu kes disebut semula.

Tertuduh didakwa mengugut untuk membunuh Azlinnah Abdullah, 33, sambil mengacu golok hingga mangsa ketakutan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pagut, Ketereh di sini. Ugutan berlaku pada jam 3.30 petang, 30 Oktober.

Majistret, Nik Habri Muhamad menetapkan sebutan semula pada 17 November depan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM6,000 dikenakan kepadanya.

Nik Habri membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat penjamin adalah isteri tertuduh.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, kerana ugutan bunuh. - sinarharian

No comments: