January 30, 2014

Mahalnya. Garu Saja Lah !

Selepas habis menduduki SPM, tak sempat berlanding dirumah, tak sempat berkuak kupu-kupu mahupun kuak lentang, kakak aku yg ketika itu belajar di Uitm Shah Alam segera mengajakku tinggal di Taman Greenwood, Gombak. Rumah keluarga angkatnya. Pakcik gombak tu adik angkat makku masa zaman mak-abah aku sekolah. Sekarang kakak aku pula jadi anak angkat mereka.

Aku menumpang tinggal dengan makcik-pakcik ni. Rumahnya tak ramai orang, hanya anak-anak yang masih kecil, itupun dijaga oleh pembantu rumah mereka. Aku berkerja di sebuah pasar mini disini bersama seorang temanku, saudara kepada pakcik ni. 
Satu hari ketika aku dan kawan aku sedang lepak sebab customer tak ramai. Masih awal. Biasanya ramai customer masa petang lepas habis waktu pejabat. Datang seorang pakcik menghampiri kaunter kami.

Kami biasa dengan pakcik ni, anaknya ketika itu belajar di Uitm Jengka. Menangis-nangis bila kena belajar disana sebab Uitm Jengka tu luar bandar. Dia dah biasa duduk dan belajar di KL. Puas pakcik dan isterinya terpaksa memujuk anak mereka.

Kami ketawa dengar, sebab kami pun asal dari jengka. Uitm pun depan sekolah menengah kami saja. Ibarat kata, apa nak dihairankan?

"Mopiko ada tak?" Tanya pakcik tersebut sesampainya dekat kami sambil senyum. "Ada." Jawab kami ringkas. "Pakcik nak beli ke?" "Boleh juga. Tengok jap." Jawab pakcik tersebut. Kawan aku pun cari mopiko tu dibahagian ubat dan menghulurkan kepada pakcik tersebut. Pakcik tersebut membelek-belek mopiko tersebut. Kami tak kisah, nak beli, beli. Tak nak pun tak apa. Nak tengok saja pun tak jadi masalah. Itu kan hak pelanggan.

"Berapa harga mopiko ni?" Kawan aku jawab, "RM10 (bukan harga sebenar, dah lupa)." "Huihh....mahalnya...!" Pakcik tersebut terkejut, mengomel tak puas hati. Kami berdua tersenyum saja. "Memang mahal ke?" Kami terpinga-pinga. Pada budak lepasan SPM macam kami ni, apa tahu. Duit pun mak-ayah yang bagi. Nasib baik masa tunggu result SPM ni kerja, dapat juga RM600-700 sebulan. Tak payah minta duit mak-ayah. Berdikari.

"Tak apalah. Garu saja lahhh.........!" Sambung pakcik tu lagi. Tak jadi membeli, sambil menghulurkan mopiko tersebut dengan muka kelat. Kali ni kami berdua tak tahan ketawa. Pakcik tu pun turut ketawa melihatkan gelagat kami. Lucu sungguh dengar ayat pakcik tu. Sampai sekarang aku masih teringat peristiwa ni. Masih terngiang-ngiang ditelingaku 'garu saja lah'. Apa khabar agaknya pakcik tu? Anaknya tentu dah lama berkeluarga dan tentu pakcik tu dah lama bercucu.

Dah lama kenangan ni aku tinggalkan. Kawanku juga telah kembali kerahmatullah beberapa bulan yang lalu. Meninggalkan suami dan seorang anak. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya..........

No comments: