March 31, 2014

Tumbukan Suami Curang


Kuala Lumpur: Luluh hati seorang isteri apabila suaminya bukan saja tergamak membawa kekasih gelap ke rumah mereka di Jinjang, di sini, kelmarin malah selepas perbuatannya terbongkar, dia dibelasah lelaki itu.

Walaupun mengetahui isterinya yang berusia 21 tahun hamil enam bulan namun tanpa belas kasihan lelaki terbabit, 20-an, bertindak menumbuk dan menendang perut mangsa menyebabkan wanita terbabit mengerang kesakitan.

Tidak cukup dengan itu si suami turut menghalau isteri dari kediaman mereka menyebabkan mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang kerana bimbang keselamatannya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa pulang ke rumah mereka kira-kira jam 8.30 pagi selepas beberapa hari berada di rumah keluarganya dekat sini.


“Bagaimanapun sebaik tiba di rumah, suami tidak membenarkan dia masuk menyebabkan mangsa pelik malah lelaki terbabit berulang kali meminta dia pulang semula ke rumah keluarganya.

“Tindakan suaminya itu menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum mangsa merempuh masuk ke dalam rumah menyebabkan lelaki berlari ke sebuah bilik dan mengunci pintu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengesyaki sesuatu mengetuk pintu bilik beberapa kali sebelum lelaki terbabit membukanya tidak lama kemudian.

“Mangsa terkejut apabila melihat seorang wanita lain dan lebih menyedihkan suaminya mengaku menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit.

“Akibatnya berlaku pertengkaran antara mereka sebelum lelaki itu bertindak ganas menumbuk muka isteri dan membelasahnya selama beberapa minit,” katanya.

Sumber berkata, suspek turut menendang perut mangsa menyebabkan dia mengerang kesakitan.

“Selepas membelasah mangsa, suspek menghalau isterinya dan tidak membenarkan dia pulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/27 - myMetro

No comments: