April 16, 2014

Ibu Tunggal Dihimpit Kemiskinan

KUALA KEDAH - Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah kesukaran hidup ditempuh ibu tunggal, Nor Hayati Abdullah, 28, di Seberang Kampung Baru, Bakar Kapur, dekat sini.

Nor Hayati tinggal bersama ibunya, Azizah Ali, 54, yang juga ibu tunggal, dua adiknya dan seorang anak lelakinya di sebuah kediaman usang tepi laut.

Menurut Nor Hayati, suaminya, Ruzaini Hashim, 38, meninggal dunia pada 2010 kerana masalah pernafasan, manakala bapa, Abdullah Hanafiah, 68, pula meninggal dua tahun kemudiannya akibat tibi.

Nor Hayati terpaksa menumpang teduh di kediaman usang yang tiada kemudahan asas akibat kesempitan hidup.

“Kini, hanya adik lelaki, Azman Abdullah, 20, menyara kehidupan kami sekeluarga dengan pendapatan tidak menentunya sebagai nelayan sekitar RM500 sebulan,” katanya.

Namun, katanya, sumber pendapatan tidak selalunya ada akibat cuaca tidak menentu, menyebabkan Azman tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

Selain itu, mereka perlu menanggung kos pembelajaran adik perempuannya berusia 11 tahun dan anak lelakinya, 7, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Kota, dekat sini.

Nor Hayati berkata, selain dihimpit kemiskinan, mereka sekeluarga resah apabila kediaman terbabit tidak lagi selamat didiami terutamanya ketika hujan lebat dan ribut.

“Kami ketakutan setiap kali ribut sebab bumbung bocor, dinding terpelahang, manakala tiang reput dimakan anai-anai. Namun, apakan daya tiada lagi tempat berlindung,” katanya.

Nor Hayati (kanan) dan ibunya, Azizah (tengah) terpaksa mendiami rumah itu, meskipun lantai kian mereput.

Katanya, mereka sekeluarga juga terpaksa menadah air untuk mandi dan minum dari pelantar berdekatan sejak sembilan tahun lalu akibat tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga sentiasa melahirkan harapan untuk mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.

Justeru, orang ramai yang bersimpati terhadap nasib menimpa keluarga Nor Hayati bolehlah menghubunginya menerusi talian 0111-4419567 ataupun melawati keadaannya sendiri di kediaman itu. - sinarharian

April 15, 2014

Suami Suka Berfoya-foya dan Mabuk

Ustaz bila suami keluar berpoya-poya dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, boleh ke kalau si isteri tidak mebenarkan si suami di kamarnya dan kadang kala tertinggi suara terhadap suaminya. Apakah patut si isteri lakukan begitu. Sungguh binggung..harap ustaz dapat memberi penjelasan.

Jawapan Ustaz

Sebagai seorang isteri, ia sepatutnya melayani suaminya lebih dari melayani kedua ibu bapanya. Ini juga merupakan tanggungjawab isteri kepada suaminya. Ada pepatah yang mengatakan apabila seorang wanita telah berkahwin, maka syurganya terletak di bawah kaki suaminya.

Pepatah ini membawa maksud, jika seorang isteri gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang solehah, sudah pasti ia tidak dapat menikmati syurga Allah dan dirinya diazab di dalam api neraka Allah yang sangat dahsyat.


Hadis Rasulullah saw yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Riwayat At-Tabrani)

Tentang masalah taati kepada suami, setiap isteri jangan pula taati segala perintah yang bercanggah dengan syariat Islam, sebabnya dalam Islam sendiri tidak pernah meredhokan perkara-perkara yang mungkar dilakukan walaupun itu arahan suami. Jadi dalam soal ini, si isteri boleh memberi nasihat kepada suami dengan bahasa yang baik dan jika boleh elakkan dari menengking suami.

Sebab dalam menyampaikan mesej Islam atau memberikan nasihat kepada seseorang, kita mestilah bijak dan hikmah dengan segala teguran kita supaya ia tidak berlaku salah faham dan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Firman Allah yang bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Tentang soalan yang ditanyakan di atas, sebagai tindakkan awal, isteri boleh menegur kesalahan suaminya dengan mengatakan minum arak itu adalah haram dan dosa besar bagi orang yang melakukannya.

Boleh juga isteri mengunci pintu bilik apabila suami yang mabuk pulang ke rumah, bagi saya ini penting sebab, orang yang mabuk biasanya ia tidak sedar apa yang telah dilakukan. Kadang-kadang disebabkan kesilapan kecil dia sanggup memukul isterinya sehingga cedera.

Jika segala teguran dan nasihat isteri tidak diindahkan oleh suami, maka si isteri boleh mengadukan masalah ini kepada kedua ibu bapanya. Kadang-kadang suami ini boleh mendengar apa yang dinasihati oleh kedua ibu bapanya.


Jika cara ini tidak berkesan, maka bolehlah si isteri buat pengaduan di Jabatan Agama Islam yang berdekatan supaya suami anda dipanggil untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling. Selalunya bagi isteri yang mempunyai masalah seperti ini, pihak Jabatan Agama Islam mempunyai kaedah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Setiap apa yang telah anda usahakan iringilah ia dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dan jalan keluar kepada masalah yang anda hadapi ini. Mungkin ini satu ujian yang anda perlu tempoh.

Mungkin juga Allah ingin menaikkan martabat iman anda kepada Allah atau mungkin sebelum ini ada apa-apa kesalahan yang anda telah lakukan. Jika ada anda mohonlah taubat kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah : 186)

Dari Blog Ustaz Nor Amin

April 02, 2014

'Neraka' Ciptaan Suami

Kuala Lipis: Tempoh lima hari tinggal di dalam ‘neraka buatan suami’ cukup menyeksakan bagi seorang suri rumah apabila dia disuruh menghisap syabu sebelum dipaksa melayan nafsu lima lelaki dengan bayaran RM100 hingga RM120 setiap seorang.

Dalam kejadian pada 26 Mac lalu, wanita berusia 25 tahun berkenaan dibawa suaminya berusia 30 tahun ke sebuah rumah sewa di Benta, dekat sini, sebelum bertemu dengan lima lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang menunggu untuk menjamah tubuh mangsa.

Difahamkan, mangsa dipercayai dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub bagi menyara kehidupan termasuk menggunakan hasil pendapatan haram itu untuk membeli syabu.

RUMAH yang dijadikan tempat lelaki melacurkan isteri sendiri.

Bagaimanapun, suaminya terpaksa beralih lokasi di daerah ini untuk meneruskan kegiatan haram itu berikutan lelaki berkenaan masih tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara keluarga.

 Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, selama lima hari berada di rumah berkenaan, mangsa terpaksa melayan nafsu lima lelaki terbabit selepas mereka semua membuat pembayaran.

Menurutnya, pada masa sama, ketika mangsa ‘disajikan’ kepada lima lelaki terbabit suaminya menjadi penonton tanpa menghiraukan rayuan dan belas kasihan wanita itu yang meminta dilepaskan.

Katanya, bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, mangsa akhirnya nekad melarikan diri, namun cubaannya gagal kerana seorang daripada suspek terbabit dikatakan menyedari tindakan wanita berkenaan.

“Mangsa merayu kepada suspek terbabit yang dikenali sebagai Gemuk supaya melepaskannya, namun lelaki itu bersetuju untuk berbuat demikian, tetapi dengan satu syarat iaitu melayani nafsunya.

“Mangsa yang sudah buntu mencari jalan untuk menyelamatkan diri terpaksa mengikut arahan suspek sebelum lelaki itu menidurinya secara percuma tanpa pengetahuan suami mangsa,” katanya.

Menurutnya, selepas melayani nafsu lelaki itu, wanita berkenaan kemudian dibawa keluar dari rumah terbabit tanpa disedari suspek lain termasuk suami mangsa sebelum dia dihantar ke Stesen Bas Bandar Katanya, selepas ditinggalkan seorang diri, mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Lipis, di sini, untuk meminta bantuan sebelum dia membuat laporan berhubung kejadian itu, petang kelmarin.

Abdul Razak berkata, susulan laporan dibuat mangsa, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lipis menahan empat lelaki terbabit termasuk suami mangsa di sebuah rumah seorang daripada suspek di Benta, petang kelmarin.

“Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa dilacurkan suaminya sejak awal 2013 di Raub dan wang yang diperoleh secara haram itu digunakan untuk menyara kehidupan termasuk membeli syabu,” katanya.

Katanya, siasatan turut mendapati sebelum ini wanita itu pernah merayu tidak lagi dilacurkan, namun suaminya berang sebelum memukul dan menerajang mangsa tanpa belas kasihan.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lipis (HKL), di sini, untuk mendapatkan rawatan, manakala anak perempuannya yang berusia lima tahun kini dijaga ibu mentuanya.

Abdul Razak berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan bertemu dengan keluarga mangsa serta mentuanya. - myMetro