April 16, 2014

Ibu Tunggal Dihimpit Kemiskinan

KUALA KEDAH - Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah kesukaran hidup ditempuh ibu tunggal, Nor Hayati Abdullah, 28, di Seberang Kampung Baru, Bakar Kapur, dekat sini.

Nor Hayati tinggal bersama ibunya, Azizah Ali, 54, yang juga ibu tunggal, dua adiknya dan seorang anak lelakinya di sebuah kediaman usang tepi laut.

Menurut Nor Hayati, suaminya, Ruzaini Hashim, 38, meninggal dunia pada 2010 kerana masalah pernafasan, manakala bapa, Abdullah Hanafiah, 68, pula meninggal dua tahun kemudiannya akibat tibi.

Nor Hayati terpaksa menumpang teduh di kediaman usang yang tiada kemudahan asas akibat kesempitan hidup.

“Kini, hanya adik lelaki, Azman Abdullah, 20, menyara kehidupan kami sekeluarga dengan pendapatan tidak menentunya sebagai nelayan sekitar RM500 sebulan,” katanya.

Namun, katanya, sumber pendapatan tidak selalunya ada akibat cuaca tidak menentu, menyebabkan Azman tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.

Selain itu, mereka perlu menanggung kos pembelajaran adik perempuannya berusia 11 tahun dan anak lelakinya, 7, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Kota, dekat sini.

Nor Hayati berkata, selain dihimpit kemiskinan, mereka sekeluarga resah apabila kediaman terbabit tidak lagi selamat didiami terutamanya ketika hujan lebat dan ribut.

“Kami ketakutan setiap kali ribut sebab bumbung bocor, dinding terpelahang, manakala tiang reput dimakan anai-anai. Namun, apakan daya tiada lagi tempat berlindung,” katanya.

Nor Hayati (kanan) dan ibunya, Azizah (tengah) terpaksa mendiami rumah itu, meskipun lantai kian mereput.

Katanya, mereka sekeluarga juga terpaksa menadah air untuk mandi dan minum dari pelantar berdekatan sejak sembilan tahun lalu akibat tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga sentiasa melahirkan harapan untuk mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.

Justeru, orang ramai yang bersimpati terhadap nasib menimpa keluarga Nor Hayati bolehlah menghubunginya menerusi talian 0111-4419567 ataupun melawati keadaannya sendiri di kediaman itu. - sinarharian

No comments: