April 15, 2014

Suami Suka Berfoya-foya dan Mabuk

Ustaz bila suami keluar berpoya-poya dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, boleh ke kalau si isteri tidak mebenarkan si suami di kamarnya dan kadang kala tertinggi suara terhadap suaminya. Apakah patut si isteri lakukan begitu. Sungguh binggung..harap ustaz dapat memberi penjelasan.

Jawapan Ustaz

Sebagai seorang isteri, ia sepatutnya melayani suaminya lebih dari melayani kedua ibu bapanya. Ini juga merupakan tanggungjawab isteri kepada suaminya. Ada pepatah yang mengatakan apabila seorang wanita telah berkahwin, maka syurganya terletak di bawah kaki suaminya.

Pepatah ini membawa maksud, jika seorang isteri gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang solehah, sudah pasti ia tidak dapat menikmati syurga Allah dan dirinya diazab di dalam api neraka Allah yang sangat dahsyat.


Hadis Rasulullah saw yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Riwayat At-Tabrani)

Tentang masalah taati kepada suami, setiap isteri jangan pula taati segala perintah yang bercanggah dengan syariat Islam, sebabnya dalam Islam sendiri tidak pernah meredhokan perkara-perkara yang mungkar dilakukan walaupun itu arahan suami. Jadi dalam soal ini, si isteri boleh memberi nasihat kepada suami dengan bahasa yang baik dan jika boleh elakkan dari menengking suami.

Sebab dalam menyampaikan mesej Islam atau memberikan nasihat kepada seseorang, kita mestilah bijak dan hikmah dengan segala teguran kita supaya ia tidak berlaku salah faham dan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Firman Allah yang bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahl : 125)

Tentang soalan yang ditanyakan di atas, sebagai tindakkan awal, isteri boleh menegur kesalahan suaminya dengan mengatakan minum arak itu adalah haram dan dosa besar bagi orang yang melakukannya.

Boleh juga isteri mengunci pintu bilik apabila suami yang mabuk pulang ke rumah, bagi saya ini penting sebab, orang yang mabuk biasanya ia tidak sedar apa yang telah dilakukan. Kadang-kadang disebabkan kesilapan kecil dia sanggup memukul isterinya sehingga cedera.

Jika segala teguran dan nasihat isteri tidak diindahkan oleh suami, maka si isteri boleh mengadukan masalah ini kepada kedua ibu bapanya. Kadang-kadang suami ini boleh mendengar apa yang dinasihati oleh kedua ibu bapanya.


Jika cara ini tidak berkesan, maka bolehlah si isteri buat pengaduan di Jabatan Agama Islam yang berdekatan supaya suami anda dipanggil untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling. Selalunya bagi isteri yang mempunyai masalah seperti ini, pihak Jabatan Agama Islam mempunyai kaedah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Setiap apa yang telah anda usahakan iringilah ia dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan dan jalan keluar kepada masalah yang anda hadapi ini. Mungkin ini satu ujian yang anda perlu tempoh.

Mungkin juga Allah ingin menaikkan martabat iman anda kepada Allah atau mungkin sebelum ini ada apa-apa kesalahan yang anda telah lakukan. Jika ada anda mohonlah taubat kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Firman Allah yang bermaksud : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah : 186)

Dari Blog Ustaz Nor Amin

No comments: