July 14, 2014

Derita Bersuamikan Lelaki Kaki Perempuan

Assalamualaikum,

Saya sudah berumahtangga hampir 2 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata yang comel. Kami berdua tinggal berjauhan atas tuntutan kerja. Sebenarnya sejak dari awal perkahwinan lagi suami saya banyak kali ‘kantoi’ kerana perempuan.

Namun saya tetap bersabar kerana saya mengandung. Selama saya mengandung, suami saya hanya buat tidak endah sahaja kepada saya. Semua SMS dan panggilan telefon dari saya langsung dia tidak pernah balas. Alasannya terlalu sibuk sehinggakan alahan mengandung yang saya alami terpaksa ditanggung seorang diri.

Apabila saya periksa telefon bimbit suami, ada sahaja mesej dari perempuan. Kadang-kadang mereka bermesej sehingga tengah malam.

Sakit sungguh hati saya. Setiap kali pulang ke rumah pasti telefon tidak lepas dari tangan. Sehingga nak masuk tandas pun dia akan bawa telefonnya. Apabila sudah ‘kantoi’ dengan saya, dia mula meletakkan kata laluan.

 Lama-kelamaan perangainya semakin menjadi-jadi. Sehingga saya bersalin dan di dalam pantang semakin ramai perempuan yang dilayannya.

Sepanjang kami berkahwin, dia tidak pernah memberi wang nafkah kepada saya. Alasannya saya bekerja.

Persiapan untuk kelahiran anak pertama kami pun saya yang sediakan semuanya. Allah itu maha besar. Pada suatu hari dia terlupa untuk log out akaun Facebooknya. Apabila saya periksa, memang banyak mesej chatting dengan perempuan. Siap chatting di YM sekali. Yang peliknya apabila saya hubungi langsung tidak dijawab.

Saya akui ketika mengandung saya perlukan perhatian dan belaian dari suami. Namun apa yang saya dapat hanyalah makian darinya.

Setiap kali kami bergaduh pasti dia akan mngharamkan duit yang dia berikan kepada saya. Sedangkan tidak ada satu sen pun wang yang dia berikan kepada saya. Saya yang banyak berikan duit kepadanya. Selama kami bersama, kami sering bergaduh. Sebagai seorang isteri, saya dapat rasakan perkara yang tidak elok dilakukan oleh suami.

Saya juga dapat tahu yang suami saya banyak tidur dengan perempuan sebelum kami berkahwin. Namun itu semua adalah kisah silamnya. Tidak perlu diungkit lagi kerana saya sangkakan selepas berkahwin dia akan berhenti dari melayan perempuan lain.

Untuk pengetahuan, dia masih lagi berhubung dengan perempuan-perempuan yang pernah dia tiduri dulu. Masing-masing berbual dan teringat kembali kenangan mereka ketika di ranjang dahulu. Hati saya terlalu sakit ketika membacanya.


Sehingga sekarang kami tetap bergaduh kerana perempuan. Saya mahu bercerai dengannya tetapi suami saya tidak mahu melepaskan saya. Saya sanggup hidup berdua sahaja dengan anak dari hidup dengan suami yang kaki perempuan. Saya ada pendapatan tetap. Untuk apa hidup dengan orang yang sibuk mengejar yang haram.

Tidak sanggup lagi nak buka pekung di dada. Ikutkan memang banyak sangat perkara buruk yang dia lakukan kepada saya namun saya tidak sanggup nak dedahkan.

Hati saya berbelah-bagi. Ikutkan hati saya sudah tidak mahu lagi bertahan dengan perkahwinan ini. Saya tidak sanggup lagi mendengar janjinya yang mahu berubah tetapi masih juga seperti dulu. Cukuplah 2 tahun saya berendam airmata.

Apa yang saya harapkan adalah hidup bahagia bersama anak saya sehingga hujung nyawa. Selamat tinggal penderitaan. Doakan kebahagiaan milik saya dan anak. Kasihan anak saya dapat ayah yang kaki perempuan. Semoga anak saya tidak mengikut jejak langkah ayahnya.

Sumber: siraplimau.com

No comments: