July 11, 2014

Hati Seorang Isteri Teraniaya

Assalamualaikum...saya dilanda masalah rumahtangga yang amat berat untuk dihadapi. Mudah-mudahan semua dapat membantu menenangkan jiwa dan mencari jalan terbaik. 

Saya telah berkahwin dengan tunang yang telah dikenali selama 7 tahun. Hubungan kami amat diharapkan oleh keluarga kami. Namun tidak sampai seminggu berkahwin suami telah berkahwin lain di negara thailand kerana perempuan itu telah hamil 2 bulan. 

Saya bersetuju kerana suami berjanji untuk menceraikan wanita itu apabila bersalin nanti. Namun semuanya dusta, mereka rupanya saling mencintai dan suami selalu ke rumah perempuan itu kerana saya bekerja di seberang laut. Suami juga berjanji tidak akan memberitahu keluarga tentang perkahwinan mereka. 


Rupanya dia telah membawa pulang perempuan itu ke rumah mentua tanpa pengetahuan saya. Yang paling mengejutkan saya terjumpa surat perkahwinan mereka dan mendapati mereka telah menukar tarikh perkahwinan mereka lebih awal. Perkara ini juga menyebabkan status saya sebagai isteri yang pertama berubah. 

Sekarang saya sedang mengandung dan sering dilanda kemurungan akibat kecewa dengan sikap suami. Saya pernah meminta dia melepaskan saya tetapi dia enggan. Dia juga tidak pernah memberi nafkah kepada saya mungkin kerana saya wanita bekerjaya. Dia hanya menanggung perempuan itu kerana tidak bekerja. 

Kini seluruh keluarga mentua saya sukar untuk dipercayai lagi. Saya bersetuju berkahwin dengan dia kerna memikirkan tentang keluarga mentua yang terlalu mengharapkan saya berkahwin dengan anaknya. Tambahan pula, saya hanya mengetahui kecurangan suami saya ketika kami sudah mengedarkan kad jemputan perkahwinan. 

Saya telah mencuba sedaya upaya untuk melupakan suami saya tetapi saya sering merasa kasihan kepadanya dan sering rasa bersalah seandainya menyakiti hati dia walaupun hati saya sendiri sangat terluka. Apa yang harus saya lakukan? Saya tidak sanggup hidup dalm penipuan lagi... -eda
06 February, 2012, 10:46:34 PM
(halaqah.net)


Saya faham perasaan eda. Terluka, kecewa, marah, sedih dan lain-lain perasaan seumpamanya, yang hanya orang yang mengalaminya pasti lebih tahu dan merasainya. 

Iyalah seorang nakhoda yang diharapkan selama ini mengemudi bahtera melayarkannya ke pantai yang indah, tiba-tiba entah ke mana di bawa haluan, tiba-tiba ada bahtera lain pula. Walhal bahtera ini pun tersesat di lautan.

Tenangkan diri eda, jalani hidup dengan memakai pakaian sabar dan reda. Suamimu, biarlah dia yang menanggung dosa-dosa itu. Dia rasa dengan memalsukan dokumen dia akan terlepas, sedar tak sedar, malaikat Allah mencatatkan seluruh perbuatan dan amalannya. 


Anak yang dikandung isteri keduanya itu, jika niatnya memalsukan tarikh nikah bertujuan supaya anak yang lahir menjadi anak yang sah taraf, maka dia silap sebenarnya. Allah tetap merekodnya dalam kitab amalan masing-masing. Jadi eda, biarkan aje, usah risau. Jika eda mampu nasihatkan bahawa dia silap dengan lemah lembut dan penuh bijaksana.



Bagi saya, yang terbaik buat eda sekarang, eda fikirkan kesihatan eda dan anak yang bakal lahir. Bila suami ada di sisi layanlah dia selayaknya dan sebaik-baiknya. Perempuan mengandung penuh sabar dan reda dengan keadaannya kemudian melayan pula suaminya dengan penuh taat, masya Allah, ganjaran yang teramat besar sedang menantinya di sisi Allah. 

Sambil menjalani hidup eda yang semakin mencabar, ada baiknya eda alunkan selawat selalu....banyakkan berdoa beristighfar...apabila tiba hari nak bersalin nanti, ada baiknya jangan terlalu mengharap yang suami akan berada di sisi. Bersedialah untuk reda apa saja. Periksa selalu bila tiba masa bertemu doktor. Pastikan eda dan anak sihat sentiasa. - nazri0070

No comments: