July 11, 2014

Kecewa Suami Abai Nafkah

Saya kurang pasti hendak letak suami dalam kategori apa, sama ada bertanggungjawab atau tidak.

Sudah hampir empat tahun berkahwin, kami dikurniakan seorang anak berusia hampir setahun.

Sepanjang perkahwinan, suami hanya beri duit poket sekali dua saja, itu pun selepas saya ungkit ketika awal perkahwinan.

Saya pula jenis yang bukan suka meminta-minta tambahan pula saya bekerja.

Namun, saya geram apabila melihat dia memberi duit kepada adik-adik selain ibu bapanya.

Memandangkan setiap tahun mendapat bonus, dia memasukkan sebahagian bonus itu ke akaun saya dan menganggap hutang belanja saya langsai untuk tempoh setahun.


Walaupun jumlah yang dimasukkan itu belasan ribu (itu termasuk duit yang dia pinjam dengan saya), ia tidak menggambarkan jumlah sebenar.

Sebagai contoh, bayaran sewa rumah berjumlah RM400 sebulan dipotong daripada gaji saya secara automatik. Suami bayar semula dalam bentuk bonus RM3,600 iaitu RM300 untuk sebulan saja.

Tetapi, duit perbelanjaan harian - makan, minum dan pakaian bagaimana? Kalau diikutkan, seolah-olah tiada.

Jumlah selebihnya dikira bayar balik hutang pinjaman kereta suami yang menggunakan nama saya sebagai peminjam.

Duit makan harian seingat saya, tidak pernah diberi. Cuma, apabila keluar makan, dia yang membayar atau saya bayar sendiri kerana dia tidak membayarnya.

Sejak ada anak, saya meminta emak menjaga anak dan saya berikan RM300 sebagai wang tambahan untuk emak saya membayar bil.

Jika difikirkan balik, kalau emak saya tidak tolong jaga anak pun, saya tetap kena bayar kepada pengasuh atau taska.

Namun, suami tidak pernah berikan atau ganti wang yang saya berikan kepada emak. Saya pernah suarakan hal ini kepada dia, jawabnya dengan selamba, ‘dah awak kata awak bagi’.

Saya terus kaku dan sangat hairan, adakah dia fikir itu tanggungjawab saya atau macam mana? Sudahlah saya menyusu badan, betapa dia patutnya bersyukur kerana dapat menjimatkan wang daripada beli susu anak. Sehingga ke hari ini, dia masih buat bodoh saja.

Kini, saya berada di tahap ‘terpulanglah jika dia fikir itu bukan tanggungjawab dia, jawab sendirilah di akhirat nanti’.


Ira, Kajang, Selangor

Saya menerima banyak aduan isteri yang menghadapi masalah sama seperti puan kerana suami gagal melaksanakan tanggungjawab membayar nafkah kepada isteri
sedangkan suami itu berkemampuan.

Mereka ini tiada langsung rasa bersalah di atas pengabaian yang dilakukan itu, malah menganggap tanggungjawab menyara keluarga tanggungjawab bersama isteri.

Bagi isteri yang mempunyai pendapatan selesa mungkin tidak mempunyai masalah menyara dirinya sendiri, tetapi bagi isteri yang juga suri rumah tangga atau berpendapatan rendah, mereka pasti tertekan dengan sikap suami itu.

Lebih-lebih lagi apabila mempunyai ramai anak dan memerlukan perbelanjaan besar setiap bulan.

Sebenarnya suami bertanggungjawab penuh ke atas perbelanjaan asasi keluarga. Walaupun isterinya mempunyai pendapatan yang lebih besar dari suami, itu tidak bermakna suami boleh mengambil sewenang-wenangnya duit isteri untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Isteri boleh membantu suami meringan bebanan perbelanjaan rumah tangga dengan menyediakan jumlah tertentu setiap bulan, tetapi tidak boleh dibuat secara paksaan.

Ini kerana hak isteri tidak boleh diusik suami tanpa izin isteri. Malah, jika suami mengambil harta atau duit isteri, ia boleh dikira hutang dan isteri boleh menuntutnya semula pada bila-bila masa daripada suami.


Bagi mengelak masalah suami yang tidak bertanggungjawab ini berterusan, sebaiknya puan menyenaraikan semua perbelanjaan asasi keluarga dan menyimpan resit itu untuk tempoh tiga bulan.

Kemudian, tunjukkan kepada suami keseluruhan perbelanjaan terbabit berserta resit.

Jika suami masih enggan membayar perbelanjaan itu, puan boleh membawa tuntutan nafkah semasa ke mahkamah syariah bagi memerintahkan suami membayar nafkah.

Jika suami masih gagal melaksanakan tanggungjawab itu, puan boleh memohon supaya gajinya dipotong mengikut jumlah nafkah yang diperintahkan mahkamah dan membayarnya terus ke dalam akaun puan.

Cara itu mungkin agak keras dan mungkin membawa kepada masalah lain seperti bermasam muka antara suami isteri, tetapi itu yang terbaik jika usaha perundingan dan nasihat menemui jalan buntu.

Bagi suami yang ada sedikit kefahaman agama mengenai tanggungjawab seorang ketua keluarga, pasti mereka tersentak dengan tindakan isteri dan memandang tindakan itu sebagai sesuatu yang positif.

Ini kerana isteri tidak mengatakan dia tidak sayangkan suami apabila memulakan tindakan di mahkamah, cuma isteri menuntut apa yang menjadi haknya supaya ekonomi rumah tangga mereka dalam keadaan stabil.

 Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/20 - myMetro

No comments: