July 23, 2014

Pengurusan Jenazah MH17 Selepas Penentuan DNA

KUALA LUMPUR - Pengurusan jenazah bagi penumpang pesawat MH17 yang beragama Islam dan bukan Islam hanya akan dilakukan selepas urusan mengenal pasti DNA selesai dijalankan oleh pihak forensik.

Pasukan Keselamatan ketika mencari dan mengumpul mangsa nahas MH17

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata jenazah warga Malaysia yang terkorban pada awal pagi 18 Julai lalu akan dibawa pulang ke tanahair selepas selesai pengurusan DNA dan ia akan diuruskan mengikut kepercayaan agama masing-masing.

"Berdasarkan kepastian forensik inilah pengurusan jenazah akan dilaksanakan untuk jenazah muslim dan lain-lain jenazah.

"Malaysia akan diuruskan untuk dibawa pulang apabila selesai pengurusan DNA oleh pihak forensik nanti," katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah bersedia untuk pengurusan jenazah tersebut termasuk kenderaan jenazah dan pengkebumian.

"Kita akan panggil semua kereta jenazah yang berada di Kuala Lumpur dan di semua masjid yang memiliki kenderaan jenazah ini.

"Kita telah senaraikan kenderaan jenazah termasuk pengurusan untuk pengkebumian," katanya.

Ditanya tentang lokasi pengkebumian, Jamil Khir berkata pihaknya bercadang untuk mengkebumikan mangsa MH17 di tanah perkuburan di Putrajaya.

Bagaimanapun katanya ia bergantung kepada kebenaran daripada keluarga waris terbabit.

"Kalau sekiranya pihak keluarga membenarkan kita punya cadangan awal, kita akan semadikan di Putrajaya di kawasan perkuburan ditempatkan

"Ia bergantung kepada pihak keluarga yang ingin membawa jenazah dikebumikan ditempat masing-masing," katanya lagi. - Sinarharian

No comments: