July 20, 2014

Pramugari MH17 Enggan Berhenti, Elok Kalau Kapal Terbang Meletup

PUTRAJAYA - Ibu kepada Nur Shazana Mohamad Salleh, pramugari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine pernah berkali-kali meminta anaknya itu supaya berhenti daripada menjadi pramugari dan bertugas di bidang lain.


Sharom Ibrahim, 57, berkata, permintaan itu dibuat kerana beliau risau  berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anaknya lebih-lebih lagi selepas berlaku kes kehilangan pesawat MH370 pada 18 Mac lalu.

"Tapi dia tak nak. Dia suka mengembara. Dia cakap orang jalan kaki pun boleh mati. Saya cakap itu sekurang-kurangnya ada mayat, tapi dia cakap lagi elok kalau kapal terbang terus meletup," katanya di sini hari ini.

Sharom yang berasal dari Pulau Pinang berkata anaknya telah bertugas sebagai pramugari selama sembilan tahun.


Kali terakhir beliau bertemu anak sulungnya itu ketika mereka berbuka puasa bersama tiga minggu lalu.

"Saya reda. Cuma harap dapat mayat dia dengan elok. Sekurang-kurangnya ada kubur dia," katanya.

Nur Shazana adalah antara 15 anak kapal dan 283 penumpang Boeing 777 yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis lepas.

Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia). - Bernama - Sinarharian

No comments: