August 05, 2014

Anak Terperangkap Dalam Kereta

Sepasang suami isteri yang baru saja selesai membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di sini menempuh detik cemas apabila anak lelaki mereka yang berusia dua tahun terperangkap di dalam kereta selama setengah jam dalam kejadian pada Sabtu lepas.

Anggota bomba menggunakan pembaris panjang untuk membuka pintu kereta yang terkunci. - Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Penguasa Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mohd. Hafiz Suhaimi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu pasangan suami isteri tersebut baru sahaja hendak memasukkan barang yang dibeli di dalam but kereta jenis Proton Saga BLM milik mereka.

Katanya, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta di pasar raya berkenaan.
“Selepas menutup but kereta tiba-tiba anak lelaki mereka yang berada di dalam telah mengunci pintu. Anak kunci kereta itu tertinggal di dalam.

“Usaha yang dilakukan oleh bapa kanak-kanak itu untuk membuka pintu gagal kerana pintu kereta terkunci rapat,” kata Mohd. Hafiz ketika dihubungi The Rakyat Post.
Mohd. Hafiz memberitahu, buntu dengan keadaan itu, isterinya telah bertindak menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Katanya, bomba yang mendapat panggilan kira-kira jam 5.01 petang tiba ke lokasi 12 minit kemudian bersama lima anggota.

Jelas beliau, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk membuka pintu kereta tersebut dengan hanya menggunakan sebatang pembaris panjang.

Beliau berkata, kecuaian pasangan itu mungkin boleh membawa padah kepada anak mereka yang mungkin lemas sekiranya bantuan menyelamat lambat diberikan.

“Semasa dikeluarkan dari kereta anak pasangan itu berada dalam keadaan baik dan hanya menangis.

“Kita mencari jalan untuk mengeluarkan kanak-kanak itu dengan cara terbaik tanpa merosakkan kenderaan milik pasangan berkenaan.

“Sekiranya kita dapati kanak-kanak itu lemas atau hampir lemas di dalam kereta sudah tentu kita akan bertindak dengan memecahkan sahaja cermin kereta tersebut,” ujarnya. - bm.therakyatpost.com

No comments: