August 23, 2014

Tanah Runtuh di Hiroshima, 39 Maut 51 Masih Hilang

TOKYO: Pasukan penyelamat terpaksa menghentikan operasi mencari 51 mangsa tanah runtuh yang masih hilang kerana bimbang kejadian yang sehingga kini meragut 39 nyawa itu berulang.

Insiden yang mengakibatkan puluhan rumah musnah itu berlaku di pinggir Hiroshima apabila lereng gunung di barat Jepun itu runtuh awal pagi Rabu lalu.















Lebih 4,000 diarah berpindah sehingga Jumaat apabila hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Berdasarkan angka yang dikumpul polis, jumlah kematian mungkin berganda.

Mengenai operasi mencari yang dihentikan, anggota bomba, polis dan tentera menangguhkan usaha itu apabila keadaan di sekitar kawasan pergunungan itu dilihat mungkin menyebabkan berlakunya satu lagi tanah runtuh.

“Operasi di dua daerah dihentikan. Anggota penyelamat diarah keluar kerana kemungkinan berlaku tanah runtuh baru,” kata jurucakap polis Hiroshima.

Arahan itu dibuat dua hari selepas seorang anggota penyelamat terbunuh setelah tertimbus ketika cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Pegawai polis berkenaan berkata, jumlah mangsa sebenar dapat diketahui apabila pasukan keselamatan menyelaras operasi dengan kerjasama pasukan perkhidmatan kecemasan serta pihak berkuasa. - mstar

“Apabila siasatan dan penilaian dibuat, jumlah mangsa hilang meningkat, ia termasuk mereka yang dilihat dihanyutkan air,” kata jurucakap itu. - mstar.com

No comments: