September 20, 2014

Bahana Perjanjian Sambung Bayar

AYER KEROH - Disebabkan terlalu percaya kepada rakan, seorang wanita kini berdepan dengan tekanan apabila diisytiharkan muflis, sehingga mengakibatkan rumahnya bakal dilelong pada minggu depan.

Puncanya hanya kerana menyerahkan kereta dibelinya kepada rakan tanpa menukar nama, sebaliknya atas perjanjian sambung bayar.

Azura bersama suami menemui Amir Hamzah, semalam bagi memohon bantuan selepas buntu dan tertekan rumah mereka akan dilelong 26 September ini.

Bagaimanapun, akibat kegagalan rakannya itu membayar ansuran bulanan sehingga mencecah RM68,000, wanita terbabit yang dikenali sebagai Azura, 40, diisytiharkan muflis pada 26 Mac 2013.

Azura berkata, masalah tidak setakat itu, sebaliknya berlanjutan apabila mendapati akaun banknya dibekukan ketika mahu membayar ansuran rumahnya pada Mei 2013.

Dia yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, walaupun dia sudah melunaskan keseluruhan ansuran kenderaan itu, namun dia tidak boleh membayar ansuran rumah sehingga akhirnya menerima surat daripada bank yang mahu melelong rumahnya pada 26 September ini.

"Saya menyedari diri saya muflis apabila tidak boleh membuat bayaran ansuran rumah di salah sebuah bank pada 13 Mei 2013.

“Saya kemudian pergi ke Jabatan Insolvensi Muar, Johor. Dua hari selepas itu, setelah berbincang, pihak bank bersetuju menerima jumlah RM60,000 iaitu untuk kebenaran pelepasan daripada muflis.

“Tapi, selepas menjelaskan ansuran kereta itu, timbul masalah lain iaitu rumah saya akibat semua akaun dibekukan menyebabkan saya tidak dapat membayar ansuran,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa kerana Jabatan Insolvensi tidak cekap sebagai pentadbir sehingga menyebabkan pelepasan status muflisnya tertangguh.

"Mereka sepatutnya perlu mendapatkan surat tuntutan hutang dan surat tawaran daripada bank terbabit. Tetapi, saya terpaksa berusaha dan berunding sendiri untuk mendapatkan surat tawaran penyelesaian dari pihak bank berkaitan masalah hutang terbabit," katanya.

Berikutan buntu dengan masalah itu, Azura mendapatkan bantuan di Pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN), semalam.

Pengarahnya, Amir Hamzah Aziz berkata, beliau menyarankan Azura membuat laporan polis berkaitan kelalaian pegawai terbabit menyebabkan dirinya masih tidak diisytiharkan bebas daripada muflis sehingga kini.

“Saya sudah maklumkan Bank Negara untuk mengambil tindakan. Selain itu, masalah ini akan dirujuk kepada Kementerian Kewangan bagi membantu menangguhkan lelongan rumah.

“Saya juga akan berhubung dengan Naib Presiden bank itu untuk berbincang lanjut selain merujuk kepada peguam,” katanya. - Sinarharian

No comments: