January 20, 2015

Anjing Bakal Warisi RM5.4 Juta Kekayaan Tuannya

New York: Seorang wanita mewasiatkan kekayaannya yang dianggar berjumlah £1 juta (RM5.4 juta) kepada anjing peliharaannya supaya haiwan itu boleh terus hidup dalam kemewahan.

 Rose Ann bersama anjingnya Bella Mia

Rose Ann Bolsany yang bekerja sebagai akauntan berbuat demikian kerana terlalu menyayangi anjing baka Maltese terrier itu yang diberi nama Bella Mia. Anjing yang berusia tiga tahun itu bakal mewarisi harta seperti barang kemas, dana amanah dan rumah percutian.

Rose Ann, 60, menganggap anjing kesayangannya itu ‘hadiah daripada Tuhan’ dan akan memastikan ia sentiasa mewah.

Bella Mia hanya makan filet stik mignon untuk makan malam dan memiliki bilik tidur sendiri yang dipenuhi pakaian anjing. Rose Ann yang berasal dari Queens, New York, berkata ketiga-tiga anaknya tidak marah dengan tindakannya. “Anak-anak saya sudah besar dan berjaya. Mereka tidak memerlukan wang saya.

“Kami sudah biasa memberi kehidupan mewah kepada Bella Mia, sebab itu saya mahu memastikan dia mempunyai segala-galanya apabila saya sudah tiada nanti,” kata Rose.

Anjing itu pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Bintang Fesyen Haiwan Kesayangan New York dua tahun berturut-turut. Sebelum ini, seorang pengusaha hotel New York, Leona Helmsley mewasiatkan hartanya bernilai £8 juta (RM43.3 juta) kepada anjingnya selepas kematiannya pada 2007.

Hakim kemudian terpaksa mengurangkan jumlah itu kepada £1.5 juta (RM 8.1 juta) apabila anjing yang bernama Trouble itu mati empat tahun kemudian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 4:53 AM myMetro

No comments: