January 20, 2015

Berhimpit Dalam Bilik Besar Stor

KUALA LUMPUR - Seorang ibu tunggal enam anak tidak mempunyai pilihan selain tinggal dalam sebuah kediaman sekecil bilik stor selepas bercerai dengan suami sejak Julai tahun lalu.

Malah, sebelum tinggal di bilik itu, mereka anak-beranak terpaksa hidup menumpang termasuk masjid, hotel dan rumah saudara kerana terdesak.

Keadaan Rohana bersama empat daripada enam anaknya dalam bilik sebesar stor yang disewa dengan kadar RM500 sebulan, ketika dilawati oleh Maimonah.

Rohana Mohd Arifin, 45, berkata, dia terpaksa keluar rumah setelah disahkan bercerai talak dua. Menurutnya, enam anaknya, Mohd Khairul Hayyan, 20; Syarifah Nurin, 18; Nur Atikah,17; Nur Khadijah, 12; dan Mohd Khairul Hafiz, 3, turut dibawa bersama.

“Saya keluar bersama anak-anak ketika bulan puasa dengan membawa van buruk. Mula-mula saya minta tumpang tinggal di sebuah masjid di Batu Muda, tetapi ada ketikanya kami tidur dalam van kerana orang ramai di masjid.

“Kami jadi hilang arah kerana tiada tempat untuk bergantung, sehinggalah saya berjumpa dengan Kak Mona setelah dirujuk oleh pihak sekolah anak saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Kak Mona, atau nama sebenar Maimonah Ahmad, merupakan Ketua Wanita Persatuan Sukarelawan Kebajikan Masyarakat Wilayah dan Selangor, yang banyak menguruskan isu kebajikan.

“Permohonan menyewa rumah PPR yang dihantar sebelum ini tidak mendapat kelulusan dan terakhir saya rujuk di DBKL pada Disember lalu, mereka kata saya perlu tunggu lagi setahun,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan sebanyak RM900 sebulan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, beliau mendapat maklumat berhubungnasib ibu tunggal berkenaan pada Jumaat lepas, dan segera memanjangkan isu itu kepada Setiausaha Politik, Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Raffi Alli Hassan.

Menurutnya, DBKL sudah bersetuju untuk menawarkan unit PPR kepada keluarga berkenaan dan kini dalam proses penyerahan kunci unit. - Sinarharian

No comments: