March 27, 2015

Suami Serang Bekas Isteri dan Kekasih

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki bertindak bagaikan gila talak apabila menyerang bekas isterinya bersama teman lelaki dalam satu kejadian di Kampung Mak Chili, Chukai, Kemaman, Selasa lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah memaklumkan, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 7.30 malam,

"Dalam kejadian itu, wanita terbabit berusia 42 tahun patah ibu jari kaki kanan, manakala teman lelakinya cedera pada anggota badan dan terima rawatan di Hospital Kemaman.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama kakak dan teman lelakinya dalam perjalanan ke rumah abangnya di kampung berkenaan," katanya.

Wan Abd Aziz berkata, sebaik tiba di rumah, kereta dinaiki mangsa bersama teman lelakinya ditahan sekumpulan lelaki diketuai bekas suami dan tiga anaknya serta empat rakan suspek.
Katanya, kumpulan lelaki tersebut bertindak ganas dengan memukul kereta teman lelaki mangsa guna kayu sebelum menarik kedua-duanya keluar daripada kereta berkenaan.

"Mangsa bersama teman lelakinya dipukul serta disepak dan suspek dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa teman lelaki mangsa melarikan bekas isterinya.

"Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Selangor dan sudah dua kali diceraikan. Dia pulang ke negeri ini untuk menyelesaikan kes di mahkamah syariah," katanya.

Tambahnya, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana tidak puas hati apabila mangsa membuat laporan di pejabat agama dan mangsa juga memaklumkan, suspek sebelum ini pernah mengugut mahu mencederakannya dan teman lelakinya.

"Identiti suspek dan ahli kumpulan terbabit sudah dikenal pasti dan kita sedang kesan mereka untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinarharian

No comments: