June 02, 2015

Suami Ugut Cincang Isteri Lepas Hampir Setahun Menghilang

BESUT - Setelah hampir setahun menghilangkan diri, seorang lelaki dipercayai penagih bukan pulang menjenguk keluarganya, sebaliknya dikatakan bertindak mengugut untuk mencincang isterinya sekiranya wanita terbabit keluar menoreh getah dalam kejadian di Kampung Pasir Akar, di sini, Sabtu lalu.

Gambar tiada kena-mengena

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori tiba-tiba bagai dirasuk hantu dan mengeluarkan pelbagai ugutan kepada isterinya berusia 44 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa didatangi suspek dalam keadaan marah dan mengugut mahu memukul anak perempuan mereka.

Menurutnya, suspek sebelum itu dikatakan sudah setahun tidak pulang ke rumah, tetapi pada hari kejadian lelaki terbabit tiba-tiba muncul tetapi dalam keadaan marah.

“Suspek melarang mangsa keluar menoreh dan memaklumkan pada salah seorang rakan isterinya yang dia akan menangkap dan ikat mangsa di batang pokok getah sebelum mencincang badan isterinya sekiranya ingkar arahannya,” katanya.

Khaled berkata, mangsa yang ketakutan dan bimbang keselamatan diri serta anak-anaknya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan dibuat mangsa, suspek berjaya ditahan dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.

“Suspek kini telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. - Sinarharian

No comments: