October 13, 2015

Makin ramai nikah di Thailand

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memberi tempoh tiga bulan kepada mana-mana pasangan dalam negeri ini yang telah melangsungkan perkahwinan di Wilayah Selatan Thailand yang bercanggah dengan Undang-undang Keluarga Islam Pahang mendaftarkan perkahwinan mereka.

Wan Abdul Wahid (tengah) ketika sidang media Program Pemutihan Perkahwinan Orang-orang Sialam Pahang di Selatan Thailand Yang Berlawanan Dengan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang, semalam.


Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, perkahwinan sedemikian mencatatkan peningkatan yang ketara sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, berdasarkan statistik perkahwinan orang Islam yang mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla, sebanyak 7,079 pasangan telah berdaftar dari Januari 2013 hingga Jun 2015.

“Daripada jumlah itu, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang memaklumkan hanya seramai 499 pasangan datang membuat pengesahan dalam tempoh yang sama.

“Kita amat bimbang urusan perkahwinan yang dilaksanakan oleh sindiket yang membelakangkan hukum syarak.

“Ada juga sindiket yang tidak diiktiraf oleh Muip apabila status perkahwinan pasangan ini meragukan,” katanya dalam Sidang Media Program Pemutihan Perkahwinan Orang-orang Islam Pahang di Selatan Thailand Yang Berlawanan Dengan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang, di sini semalam.

Sehubungan itu katanya, melalui Mesyuarat Muip yang bersidang pada 15 September lalu, persetujuan telah dibuat dengan cadangan yang dibawa oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) supaya perkahwinan yang bertentangan dengan Undang-undang Keluarga Islam negeri ini diberi perhatian untuk diselesaikan segera.

Bagaimanapun katanya,  program pemutihan itu melibatkan pernikahan di lima Wilayah Thailand iaitu, Yala, Narathiwat, Pattani, Satun dan Songkla dan pasangan berkenaan boleh mendaftar di mana-mana Pejabat Agama Islam berhampiran mereka.

Menurutnya, sebelum ini Jaip sering didatangi pasangan yang membawa sijil perkahwinan yang tidak diiktiraf oleh agensi kerajaan yang akhirnya membawa kepada masalah untuk mendaftarkan persekolahan anak-anak, kad pengenalan gagal diperoleh dari Jabatan Pendaftaran Negara, urusan pencen, KWSP, tuntutan harta pusaka dan lain-lain lagi.

“Tujuan pemutihan ini dibuat adalah untuk memudahkan pasangan yang terbabit mengesah dan mendaftarkan perkahwinan mereka. Jika perlu, ada di kalangan pasangan akan dinikahkan semula mengikut undang-undang Orang Islam Negeri Pahang.

“Kebanyakan pasangan tersebut memilih untuk berkahwin di Thailand kerana ingin berpoligami ataupun tidak mendapat keizinan wali. Ada yang sudah beranak lima baru datang membuat permohonan kerana sukar mendaftar persekolahan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tiada bayaran ataupun denda yang akan dikenakan kepada mereka selama tempoh program pemutihan yang akan berlangsung dari 2 November hingga 31 Januari 2016. - Sinarharian

No comments: