November 24, 2015

Tabah Jaga Suami Lumpuh

SERDANG - Kerana cinta dan kasih sayang, seorang warga emas di Kampung Baru Ladang Selama, di sini setia menjaga suami mengalami strok sedangkan dirinya juga sudah uzur.

Esah Abd Rahman, 91 yang menghidap penyakit darah tinggi masih mampu menguruskan suaminya Samat Dahaman, 83, walaupun dirinya sudah lanjut usia.

 Esah berada di sisi Samat ketika berbual dengan Noridan di kediaman mereka.

Esah berkata, dia pernah terlantar selama enam bulan akibat terjatuh di dalam bilik air namun, mampu berjalan semula selepas menjalani rawatan fisioterapi selama enam bulan.

“Makcik sangka tak dapat jalan lagi selepas jatuh di bilik air, tapi Alhamdulillah dengan usaha dan izin ALLAH makcik berjaya berjalan semula.

“Mungkin hikmah untuk makcik menjaga suami yang tak mampu berbuat apa-apa lagi, apabila mengalami strok pada Oktober lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Manakala, Samat yang juga bekas anggota polis berkata, selepas strok dia tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan malah sukar untuk ke bilik air kerana tidak mempunyai kerusi roda.

“Sekarang pakcik hanya guna alat bantu berjalan milik isteri, untuk bergerak. Pakcik memang perlukan kerusi roda untuk memudahkan isteri  bawa pergi mandi,” katanya.

Dalam pada itu, anak sulung pasangan itu, Kamaruddin Samat, 53 berkata, dia selalu membantu ibu bapanya dan meminta anak serta isteri menemani mereka.

“Dua atau tiga kali sehari akan meluangkan masa menguruskan ibu dan ayah. Kadangkala kalau saya tak sempat, anak saya akan ke sana selepas balik sekolah,” katanya.

Kesusahan dialami keluarga itu mendapat perhatian Pegawai Zakat Bandar Baharu, Mohd Khalil Mohd Zain yang melawat pasangan tersebut.

Mohd Khalil berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan penambahbaikan rumah dan bilik air untuk kemudahan mereka.

“Kita dapat maklumat masalah kesukaran mereka nak pergi bilik air sebab berada di luar, jadi kita usahakan  membaik pulih bilik air untuk memudahkan mereka, Insya-ALLAH bermula tahun depan,” katanya.

Selain itu, Yang DiPertua Yayasan DCT Bhd, Datuk Noridan Spee Yee turut hadir menyumbangkan kerusi roda dan keperluan asas kepada mereka.

Beliau meminta persatuan bekas polis membantu Samat yang pernah berkhidmat dalam pasukan itu sejak tahun 40an.

“Kami bagi sumbangan sikit kepada pasangan ini dan berharap persatuan bekas polis dapat melawat Samat yang pernah berjasa kepada negara,” katanya. - Sinarharian

No comments: