March 08, 2018

Misteri Jalan Benta-Jerantut

Hari ni akak Milokaw nak kongsikan sebuah kisah yang agak lucu misteri. Kisah ni berlaku pada bulan lepas February 2018.

Kisah bermula ketika akak balik ke jengka 16, singgah Bandar Jengka sekejap menjenguk ibu angkat yang terlantar sakit yang kini telah kembali ke Rahmatullah dua-tiga hari selepas kami menjenguknya. Selepas melawat aku berdua dengan mak meneruskan perjalanan balik ke Merapoh rumah nenekku-yg kupanggil 'wan'. Sebelum bertolak, di hospital kawan ibu dan ayah angkatku pesan hati² jangan laju² lalu jalan Bukit Tujuh jalan teruk. Lagipun musim hujan dan jalan licin. Masa tu dah dekat pukul 6 petang. Aku ketawa kecil dengar saranan tersebut sambil jawab, "Tak lalu Bukit Tujuh sebab Highway Padang Tengku ke Merapoh dah lama siap. Jadi kami ikut highway.

Gambar Hiasan Duniawi - Credit pic: India.com

Yang sebetulnya, aku tak perlu jawab apa² dan layak hanya senyum dan berterima kasih saja menerima peringatan dan nasihat tersebut. Tapi dah mulut akak ni agak becok peramah sikit, lalu cepat saja terpacul jawapan yg agak² berlagak itu. Walaupun tanpa niat.

Kami meneruskan perjalanan dari Bandar Jengka lalu Jengka 8 menuju ke Jerantut, seusai sampai simpang ke Lipis-Jerantut dan Tembeling depan Masjid yg tersergam indah di tepi Jalan Jerantut-Maran itu akak membelok masuk dan meneruskan perjalanan. Jalan tidak sunyi, ada saja kereta² lain. Hutan kiri-kanan, dan berselang-seli dengan kampung, akhirnya kami memperlankan kenderaan sebab di depan banyak kenderaan berhenti. Macam kenduri pulak. Aku dan mak kehairanan, aku lalu memberhentikan kereta dan turun Oh, patutlah semua kereta berhenti. Rupanya jambatan Jalan Tembeling itu telah banjir dilimpahi air dan tidak boleh dilalui. Aku panik seketika, dan mengambil keputusan untuk menelefon abah bagaimana untuk balik ke Merapoh? 

Abah suruh aku patah balik dan lalu jalan Benta-Jerantut. Waktu tu dah gelap dah nak maghrib. Aku tanpa membuang masa meneruskan perjalanan. Malangnya hanya kereta kami saja yg lalu di jalan itu? Pada mulanya tidak terasa, ketika masih belum sampai ke Jerantut. Tapi keadaan berubah sunyi-sepi dan hening selepas melepasi Jerantut. Sudahlah tiada kereta lain, hujan lebat pula. Itupun nak sampai ke Jerantut hati terasa panas dan serabut kerana terserempak dengan lebih-kurang 10 biji lori besar dan berat! Lagi besar, panjang, dan berat dari lori balak dan pasir. Lori² itu dari kawasan hutan Jerantut itu sendiri. Mana tak serabut, sudahlah silau, terpaksa mengelakkan mereka, yg sangat besar tu. 

Gambar Hiasan Duniawi - Credit pic:Holidify.com

Kami dah masuk jalan Benta. Lega lori pun dah tak ada. Masa ni aku masih tabah dan rileks. Tapi bila hujan semakin lebat, jalan pula bengkang-bengkok, hutan tebal usah dikata, kampung pula jarang² ada, kenderaan lain langsung tiada. Amat hening dan menakutkan bagi wanita yg kental seperti aku ni. Merasa satu rahmat dan kesyukuran pada setiapkali ada motor dan kereta yang jarang sekali bertemu. Itupun sepanjang jalan aku tak putus² memasang alunan Al-quran dan zikir dalam kereta.

Hinggalah pada satu ketika aku merasa seluruh tubuh meremang bulu roma. Situasi yang sangat jarang terjadi padaku. Mak pula semacam resah. "Mana kereta ni, tak ada langsung kereta" katanya seperti tak puas hati. Aku pula terpaksa buka tingkap sedikit saja bagi masuk udara sebab minyak kereta dah nak habis. Takut kereta mati tengah jalan.

Bagi hilangkan rasa tidak selesa dan seram, sementelah beberapa kali juga kereta hampir terbabas walaupun perlahan sebab jalan licin, gelap selekoh tajam yg banyak, dan pandangan yg terhad oleh hujan yg lebat maka kami berdua berbual. Masa tu aku bawa sambal tumis jering dari Jengka, nak makan di Merapoh. "Laparlah mak kan" kataku bagi hilangkan rasa sunyi dan takut. 'Nanti kita makan nasi dengan sambal jering tu sampai nanti'. Tiba² saja semerbak bau buah jering seperti jering yang disemai pun ada sebaik ayat makan sambal jering tu terlontar. "Eh, baru sebut dah bau pulak." Kata mak.

Allah, geram pula dengar ayat mak tu. Tengah² hutan dan malam macam tu kenalah jaga tutur kata kan? Akak ni dahlah rasa takut, tapi sempat juga pandang kiri kanan kot²lah kawasan kampung orang dan ada pokok jering ditepi jalan? "Mak, jagalah tutur-kata tu" Jawabku ringkas. Bau yang kuat itu pula semakin hilang. 

Aku tetap gagahkan diri memandu dengan berhati². Tak lama selepas itu aku dan mak ternampak seekor lembu besar di tepi jalan. Nampak matanya kearah kami (tak tahulah dia pandang kami atau jalan) dalam cahaya lampu kereta yg menyimbah. Terkejut aku dan mak. Syukur tak terlanggar, hampir sangat dengan jalan. Warna sama macam lembu biasa cuma lebih cerah, cuma tanduknya panjang dan tajam. Seperti tanduk kerbau. Aku dan mak kehairanan lembu apakah itu? Kesian, berjemur tengah hujan dimalam yang pekat, ditepi hutan yang tebal pula. Siapakah tuannya? Sampai hati dibiarkan lembu tu kesorangan keseekoran. Maaf, perkataan baru?

Akak Milokaw pula hampir menangis (belum menangis) kerana jalan tak sampai², terasa amat jauh dan panjang jalan tersebut sampai akhirnya aku terasa sudah salah dan sesat jalan. Mungkin waktu itu sudah ke tahap putus asa. Akhirnya, nah bertemu jalan lurus! Dan cahaya² lampu jalan. Syukur, kami hampir sampai ke bulatan Benta dekat Petronas. Syukur tak terhingga Ya Allah dah sampai jalan yg biasa aku lalui....!

Di Merapoh aku ceritakan pengalaman tu pada nenek. Dua-tiga hari lepas tu dapat berita ibu angkat meninggal selepas dibawa ke hospital Temerloh. Aku cakap dengan wan nak singgah jengka dulu sebelum balik KL. Aku cakap nak lalu jalan Benta-Jerantut dulu, tapi wan tak bagi dan berat hati. Dia suruh aku lalu Jalan Kuala Lipis-Tembeling-Jerantut seperti biasa. Aku takut hujan dan banjir lagi? Wan cakap rasanya dah tak banjir (Punyalah tak bagi cucu dia lalu jalan Benta-Jerantut tu walaupun siang hari) Aku akur, dan syukurlah jalan tembeling jerantut dah tak banjir. Hanya dua-tiga kampung kesan dinaiki banjir.

Aku sampai jengka dah petang, sempat bertemu ayah angkatku sebentar ketika hari pengebumian ibu angkatku. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.

Kisah jalan Benta-Jerantut ni mungkin tak seram dan biasa saja bagi sesetengah orang terutama mereka yg berada di kawasan tersebut, atau biasa melalui jalan sersebut. Akak pun bukan nak suruh korang rasa seram, akak cuma kongsi pengalaman akak saja. Akak ni perempuan, drive tetengah malam lalu hutan tebal macam tu, hujan lebat pula kereta pun tak ada tentu akan rasa seram bila ada sedikit kepelikkan hatta tiada kepelikkan sekalipun. Seingat akak, masa kecik² dulu saja pernah lalu jalan tu. Dan mesti muntah setiapkali naik bas ketika melalui jalan tersebut. 

No comments: