June 04, 2018

Siap Tempahan Ketupat Palas 4000 Sendirian

KOTA BHARU: Dalam usia 65 tahun, seorang warga emas di Kampung Kubang Palas, Banggu, di sini, mampu menyiapkan sehingga 4,000 biji ketupat tanpa bantuan sesiapa untuk memenuhi tempahan pelanggannya setiap kali menjelang Aidilfitri.
Siti Mariam Mamat berkata, dia mempelajari membuat ketupat daripada arwah ibunya, Fatimah Awang dan lama-kelamaan semakin mahir sekali gus menyambung pembuatan ketupat palas yang diusahakan oleh arwah sebelum ini.
SITI Mariam mampu menyiapkan sehingga 4,000 biji ketupat bagi memenuhi tempahan pelanggannya setiap kali menjelang Aidilfitri. - Foto Hazira Ahmad Zaidi
"Proses untuk mengarong (mengadun) pulut bersama santan sedikit memenatkan kerana ia sentiasa perlu dikacau menggunakan senduk kayu supaya adunan menjadi lebih sebati selain ketupat juga tahan lama dan tidak cepat basi.
"Terlebih dulu, mak cik akan membuat pengasingan daun palas yang lebar dan muda untuk digulung membentuk kelongsong tiga segi sebelum dibersihkan dan diisi pulut yang sudah dikukus ke dalam kelongsong itu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.
Katanya, kebiasaannya dia membuat ketupat palas seawal pagi dengan merendam sekurang-kurangnya enam kilogram (kg) beras pulut sehari kemudian dikukus secara berperingkat. Proses menyediakan ketupat ini berakhir lewat petang dengan membungkus pulut ke dalam daun palas.
"Dalam membuat ketupat, kemahiran membungkus amat penting kerana jika tidak mahir, bungkusan tidak cantik dan tidak semua orang boleh melakukannya termasuklah anak-anak.
"Tiga atau empat hari sebelum hari raya, mak cik akan menghasilkan 400 biji ketupat sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.
Siti Mariam berkata, dia sudah menutup tempahan pada minggu pertama Ramadan dan kebiasaannya pelanggan akan membuat tempahan lebih awal kerana bimbang permintaan mereka ditolak sekiranya terlambat.
"Bagaimanapun, sepanjang bulan puasa ini, ada juga pelanggan yang membuat tempahan melalui telefon dan tidak kurang juga yang datang ke rumah, namun terpaksa ditolak kerana mak cik kekurangan tenaga kerja selain kesuntukan masa menyiapkan semua tempahan ketupat palas.
"Mak cik membuat empat jenis ketupat iaitu lemak manis dan kosong dijual pada harga RM65, kacang (RM75) dan sambal daging (RM100) bagi setiap 100 biji ketupat palas," katanya yang sudah lebih 20 tahun mengusahakan pembuatan ketupat palas.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, daun palas yang menjadi pembalut ketupat mula dikumpulkan pada pertengahan Ramadan bagi mengelakkan pucuk palas menjadi kering sekali gus menyukarkan untuk membentuk kelongsong tiga segi.
"Kebiasaannya daun palas dicari di kawasan hutan berhampiran rumah dan pucuk palas yang muda dan lebar daripada pokok yang segar menjadi pilihan. Jika tidak cukup, mak cik terpaksa juga membeli daun palas yang dijual di kedai antara RM20 hingga RM25 untuk 100 helai," katanya.
Apabila ditanya mengapa ketupat palasnya menjadi pilihan pelanggan, Siti Mariam memberitahu ia terletak pada kuantiti santan yang digunakan ketika dikacau bersama pulut.
"Semakin banyak santan yang digunakan, semakin lemak rasa ketupat palas. Ketupat yang mak cik buat boleh bertahan sehingga empat hari walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk dan pernah diterbangkan ke Arab Saudi dan Kemboja," katanya.
Berita Harian: https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2018/06/433809/siap-tempahan-4000-ketupat-palas-sendirian

-------------------------------------------------------------------------------------
Kapsul Patawali / Akar Seruntun Asli 30 Biji RM13

No comments: